Apakah yang dikatakan Alkitab tentang kerasukan roh/diganggu roh jahat?




Soalan: Apakah yang dikatakan Alkitab tentang kerasukan roh/diganggu roh jahat?

Jawapan: Alkitab memberikan beberapa contoh orang dirasuki atau dipengaruhi roh-roh jahat. Daripada contoh-contoh yang diberikan kita akan menjumpai beberapa petanda apabila seseorang dipengaruhi roh jahat dan memahami bagaimana roh jahat merasuki seseorang. Berikut adalah rujukan Alkitab tentang kerasukan roh-roh jahat (Matius 9:32-33; 12:22; 17:18; Markus 5:1-20; 7:26-30; Lukas 4:33-36; Lukas 22:3; Kisah 16:16-18). Dalam beberapa bahagian ini, kita mendapati roh jahat yang merasuki seseorang itu akan menyebabkan pelbagai penyakit seperti tidak mampu bercakap, sawan babi, buta dsb. Roh jahat mengakibatkan seseorang itu melakukan kejahatan,contohnya Yudas yang telah menjual Yesus. Dalam Kisah 16:16-18, roh memberikan kepada seorang hamba perempuan pengetahuan di luar kemampuannya. Lelaki yang dirasuki banyak roh-roh jahat di Gedara, mempunyai kekuatan yang luarbiasa dan hidup bertelanjang bulat di tanah perkuburan. Selepas memberontak terhadap Tuhan, Raja Saulus diganggu roh jahat (1 Samuel 16:14-15; 18:10-11; 19:9-10) dan menjadi sangat tertekan dan mahu membunuh Daud.

Dengan demikian kita mengambil kesimpulan bahawa ada pelbagai gejala yang mungkin diakibatkan kerasukan roh jahat. Ciri-ciri seperti penyakit yang puncanya tidak dapat dijelaskan, perubahan pada peribadi seperti tekanan atau menjadi agresif, mempunyai kekuatan ghaib, perilaku tidak bersopan, anti sosial, dan kemampuan untuk mendapatkan maklumat di luar kemampuan semulajadi. Penting untuk dicatat bahwa hampir semua, jika tidak semua, ciri-ciri ini mungkin mempunyai penyebab yang lain, supaya kita jangan terus melabel setiap orang yang mengalami tekanan sebagai dirasuki roh jahat. Namun di bahagian yang lain kita perlu ingat bahawa, budaya barat tidak mengambil serius soal roh-roh jahat yang terlibat dalam kehidupan orang.

Selain perbezaan pada jasmani dan emosi, pengaruh roh jahat juga dapat dinilai dari segi rohani. Ini termasuk tidak mahu mengampuni (2 Korintus 2:10-11), kepercayaan dan penyebaran ajaran palsu, terutama tentang Kristus dan karya penyelamatan-Nya (2 Korintus 11:3-4, 13-15; 1 Timotius 4:1-5; 1 John 4:1-3).

Rasul Petrus merupakan contoh yang nyata tentang keterlibatan roh-roh jahat dalam kehidupan orang-orang Kristian, di mana seorang Kristian itu dapat dipengaruhi oleh roh jahat (Matius16:23). Beberapa orang menggunakan istilah “ada roh jahat” terhadap orang-orang yang mempunyai pengaruh roh jahat yang kuat. Kebanyakan ahli teologi percaya bahawa seseorang Kristian itu tidak dapat dirasuki sebab Roh Kudus berada di dalam orang-orang percaya (2 Korintus 1:22; 5:5; 1 Korintus 6:19), dan Roh Tuhan tidak mungkin mahu berkongsi tempat dengan roh jahat.

Kita tidak diberitahu bagaimana seseorang dapat dirasuki. Jika kasus Yudas dijadikan ukuran-dia telah membuka hatinya terhadap kejahatan – melalui ketamakannya (Yohanes 12:6). Jadi apabila seseorang membiarkan hatinya dikuasai oleh satu tabiat dosa itu akan menjadi laluan masuk untuk roh jahat. Daripada pengalaman para mubaligh, kerasukan roh jahat dikaitkan dengan penyembahan berhala orang-orang kafir dan menyimpan barang-barang kuasa gelap. Firman Tuhan berulang kali mengkaitkan penyembahan berhala kepada roh-roh jahat (Imamat 17:7; Ulangan 32:17; Mazmur 106:37; 1 Korintus 10:20). Tidak menghairankan apabila keterlibatan dalam penyembahan berhala membawa kepada kerasukan roh jahat.

Berdasarkan ayat-ayat Alkitab di atas dan beberapa pengalaman mubaligh, kita dapat menyimpulkan bahawa ramai orang yang membuka kehidupan mereka kepada campurtangan roh-roh jahat melalui perbuatan dosa atau kegiatan ilmu sihir (sedar ataupun tidak sedar). Semua ini termasuklah perbuatan-perbuatan tidak bersusila, minuman keras dan salah guna dadah yang mengubah keadaan sedar seseorang, pemberontakan, kepahitan, dan meditasi transendental.

Seperkara lagi yang kita perlu pertimbangkan. Iblis dan pengikut-pengikutnya tidak dapat melakukan apa-apa di luar keizinan Tuhan (Job 1-2). Iblis selalu berfikir dia telah mencapai tujuan dan kehendaknya, tetapi sebenarnya dia telah melaksanakan tujuan dan kehendak Tuhan seperti yang berlaku dalam kasus pengkhianatan Yudas. Beberapa orang mempunyai sikap yang tidak sihat terhadap kuasa gelap dan kegiatan roh-roh jahat. Ini bukan satu langkah yang bijak dan tidak Alkitabiah. Apabila kita mengikut Tuhan, kita memakai pakaian perang-nya dan bergantung dalam kuasa-Nya (Efesus 6:10-18). Kita tidak perlu takut kepada si Jahat, sebab Tuhan memerintah di atas semuanya!



Balik ke laman bahasa Melayu

Apakah yang dikatakan Alkitab tentang kerasukan roh/diganggu roh jahat?