Bagaimanakah kita dapat mengenal suara Tuhan?




Soalan: Bagaimanakah kita dapat mengenal suara Tuhan?

Jawapan: Pertanyaan ini telah ditanya oleh ramai orang yang tidak terkira bilangannya sejak turun temurun. Samuel telah mendengar suara Tuhan tetapi tidak mengenal suara itu sebelum diajar oleh Eli (1 Samuel 3:1-10). Gideon mendapat penglihatan fizikal daripada Tuhan, tetapi masih meraguinya sehingga meminta petanda daripada Tuhan beberapa kali (Hakim-Hakim 6:17-22, 36-40). Apabila kita mendengar suara Tuhan, bagaimanakah kita tahu bahawa Dia yang sedang bercakap? Pertama sekali, sekarang kita memiliki apa yang tidak ada pada Gideon dan Samuel. Kita mempunyai Alkitab yang lengkap, Firman Allah yang telah diilhami untuk kita baca selidiki dan renungkan. “Segala tulisan yang diilhamkan Allah memang bermanfaat untuk mengajar, untuk menyatakan kesalahan, untuk memperbaiki kelakuan dan untuk mendidik orang dalam kebenaran. Dengan demikian tiap-tiap manusia kepunyaan Allah diperlengkapi untuk setiap perbuatan baik” (2 Timotius 3:16-17). Apabila kita mempunyai pertanyaan berhubung suatu perkara atau keputusan yang hendak diambil, kita perlu melihat apa yang dikatakan Alkitab tentang perkara itu. Tuhan tidak akan membawa atau memimpin kita bertentangan dengan apa yang telah diajarkan atau dijanjikan di dalam Firman-Nya (Titus 1:2).

Kedua, untuk mendengar suara Tuhan kita mesti mengenal suara itu. Yesus berkata, “Domba-domba-Ku mendengarkan suara-Ku dan Aku mengenal mereka dan mereka mengikut Aku” (Yohanes 10:27). Mereka yang mendengar suara Tuhan adalah mereka yang sudah menjadi milik-Nya iaitu orang-orang yang telah diselamatkan oleh anugerah melalui iman di dalam Tuhan Yesus. Inilah domba-domba yang mendengar dan mengenal suara-Nya, sebab mereka mengenal-Nya sebagai gembala mereka dan mereka mengenal suara-Nya. Sekiranya kita mahu mengenal suara-Nya, kita mestilah menjadi milik-Nya.

Ketiga, kita mendengar suara Tuhan apabila kita meluangkan masa dalam doa, penyelidikan Alkitab dan tenang merenungkan Firman-Nya. Lebih banyak masa diluangkan untuk intim dengan Tuhan di dalam doa dan Firman-Nya maka semakin mudah mengenal suara dan pimpinan-Nya dalam kehidupan kita. Pekerja bank dilatih untuk mengenal wang palsu dengan mengkaji wang asli dengan sangat dekat. Akibatnya mereka dengan mudah dapat mengesan kepalsuan. Kita perlu membiasakan diri dengan Firman Tuhan supaya apabila Tuhan sedang bercakap atau memimpin kita, ianya jelas daripada Tuhan. Tuhan bercakap kepada kita supaya kita memahami kebenaran. Walaupun Tuhan dapat bercakap dengan suara yang kedengaran, Dia bercakap terutama sekali melalui Firman-Nya kepada kita, kadangkala melalui Roh Kudus ke dalam hati nurani, melalui keadaan dan melalui orang lain. Dengan menguji apa yang didengar dengan kebenaran Firman Tuhan, kita akan belajar untuk mengenal suara-Nya.



Balik ke laman bahasa Melayu

Bagaimanakah kita dapat mengenal suara Tuhan?