Apakah predestinasi? Adakah predestinasi itu Alkitabiah?




Soalan: Apakah predestinasi? Adakah predestinasi itu Alkitabiah?

Jawapan: Roma 8: 29-30 berkata, “Sebab semua orang yang dipilih-Nya dari semula, mereka juga ditentukan-Nya dari semula untuk menjadi serupa dengan gambaran Anak-Nya, supaya Ia, Anak-Nya itu, menjadi yang sulung di antara banyak saudara. Dan mereka yang ditentukan-Nya dari semula, mereka itu juga dipanggil-Nya. Dan mereka yang dipanggil-Nya, mereka itu juga dibenarkan-Nya. Dan mereka yang dibenarkan-Nya, mereka itu juga dimuliakan-Nya.” Efesus 1: 5 dan 11 pula menyatakan, “Dalam kasih Ia telah menentukan kita dari semula oleh Yesus Kristus untuk menjadi anak-anak-Nya, sesuai dengan kerelaan kehendak-Nya… di dalam Dialah kami mendapat bagian yang dijanjikan -- kami yang dari semula ditentukan untuk menerima bagian itu sesuai dengan maksud Allah, yang di dalam segala sesuatu bekerja menurut keputusan kehendak-Nya.” Ramai menentang pengajaran tentang predestinasi ini. Bagaimanapun, pengajaran ini memang Alkitabiah. Kuncinya adalah memahami apa yang dimaksudkan dengan predestinasi menurut Alkitab.

Perkataan yang diterjemahkan sebagai “predestinasi” dalam Firman Tuhan di atas diambil dari perkataan Yunani “proorizo”, yang membawa makna “ditetapkan sebelumnya”, “ditakdir”, “dipilih jauh sebelum waktunya”. Jadi predestinasi bercakap tentang Tuhan menetapkan sesuatu perkara yang akan berlaku jauh sebelum waktunya. Apakah yang Tuhan telah tentukan sebelum waktunya? Menurut Roma 8:29-30 Tuhan telah menentukan individu-individu tertentu untuk menjadi serupa dengan gambaran Anak-Nya. Orang-orang ini dipanggil, dibenarkan dan akan dimuliakan. Pada dasarnya Tuhan telah menentukan individu-individu tertentu untuk diselamatkan. Banyak ayat bercakap tentang orang-orang yang percaya kepada Kristus telah dipilih (Matius 24:22, 31; Markus 13:20, 27; Roma 8:33, 9:11, 11:5-7, 28; Efesus 1:11; Kolose 3:12; 1 Tesalonika 1:4; 1 Timotius 5:21; 2 Timotius 2:10; Titus 1:1; 1 Petrus 1:1-2, 2:9; 2 Petrus 1:10). Predestinasi adalah pengajaran Alkitabiah yang berkata dalam kedaulatan-Nya Tuhan telah memilih individu-individu tertentu untuk diselamatkan.

Bantahan yang biasa diterima kepada pengajaran ini adalah ianya tidak adil. Mengapa Tuhan memilih individu-individu tertentu sahaja dan bukan orang lain? Penting diingat bahawa tidak ada seorang pun yang layak untuk diselamatkan. Semua kita telah berbuat dosa (Roma 3:23) dan layak menerima hukuman kekal (Roma 3:23). Tuhan akan berlaku adil dengan membiarkan kita menderita selama-lamanya dalam neraka. Bagaimanapun Tuhan memilih untuk menyelamatkan beberapa orang. Dia bukan berlaku tidak adil kepada yang tidak terpilih sebab orang-orang itu menerima apa yang selayaknya mereka terima. Tuhan bukan tidak adil apabila dia bermurah hati kepada beberapa orang. Tidak ada sesiapa yang layak menerima apa-apa daripada Tuhan. Oleh sebab itu tidak ada sesiapa yang boleh membantah sekiranya tidak menerima apa-apa daripada Tuhan. Satu contoh yang dapat diberikan adalah tentang seseorang yang memberikan wang kepada seramai lima orang dalam sekumpulan 20 orang. Adakah 15 orang yang tidak menerima wang akan berkecil hati? Mungkin juga. Adakah mereka berhak untuk merasa begitu? Tidak. Mengapa? Sebab orang yang memberikan wang secara rawak tadi tidak berhutang apa-apa kepada mereka. Dia hanya memilih untuk bermurah hati kepada beberapa orang.

Sekiranya Tuhan yang memilih orang yang akan diselamatkan, bukankah itu mengabai kebebasan kita untuk membuat pilihan dan percaya dalam Kristus? Alkitab berkata kita mempunyai pilihan—semua yang percaya kepada Yesus akan diselamatkan (Yohanes 3:16; Roma 10:9-10). Alkitab tidak pernah berkata Tuhan menolak seseorang yang percaya kepada-Nya atau menolak sesiapa sahaja yang mencari-Nya (Ulangan 4:29). Bagaimanapun, dalam misteri Tuhan, predestinasi Tuhan bekerjasama dengan peribadi manusia yang sedang ditarik Tuhan (Yohanes 6:44) dan percaya untuk mendapat keselamatan (Roma 1:16). Tuhan menentukan siapa yang akan diselamatkan dan kita secara peribadi mesti memilih Kristus supaya dapat diselamatkan. Kedua-dua kenyataan ini adalah benar. Roma 11:33 menyatakan, “O, alangkah dalamnya kekayaan, hikmat dan pengetahuan Allah! Sungguh tak terselidiki keputusan-keputusan-Nya dan sungguh tak terselami jalan-jalan-Nya!”



Balik ke laman bahasa Melayu

Apakah predestinasi? Adakah predestinasi itu Alkitabiah?