settings icon
share icon
Soalan

Adakah Yesus benar-benar pernah wujud? Adakah terdapat bukti sejarah mengenai kewujudan Yesus Kristus?

Jawapan


Biasanya apabila pertanyaan ini ditanya, individu yang bertanya menggunakan sumber “yang di luar Alkitab” untuk menjawab pertanyaan ini. Kita tidak boleh menerima pendapat yang mengatakan bahawa Alkitab tidak boleh dijadikan sebagai sumber bukti kewujudan Kristus. Perjanjian Baru mempunyai banyak bahkan ratusan bukti yang merujuk kepada Yesus Kristus. Terdapat pihak yang meletakkan tarikh penulisan kitab Injil dalam abad kedua iaitu lebih 100 tahun selepas kematian Yesus. Walaupun ini merupakan anggarannya (yang kami dengan tegas membantah), tetapi dalam hal bukti zaman silam, penulisan kurang daripada 200 tahun selepas sesuatu peristiwa itu berlaku dianggap sebagai sumber yang masih boleh dipercayai. Tambahan pula, sebahagian besar cendekiawan (Kristian dan bukan Kristian) bersetuju bahawa sebenarnya surat-surat Paulus (sekurang-kurangnya sebahagian daripadanya) telah ditulis oleh Paulus sendiri pada pertengahan abad yang pertama, iaitu kurang daripada 40 tahun selepas kematian Yesus. Dalam syarat bukti penulisan zaman silam, bahan ini merupakan satu bahan bukti yang sangat bagus mengenai kewujudan seorang yang bernama Yesus di Israel pada awal abad masihi yang pertama.

Juga penting untuk mengetahui bahawa pada tahun 70 masihi, pihak Roma telah menyerang Yerusalem dan hampir keseluruhan Israel serta membunuh penduduk-penduduknya. Kota-kota telah dibakar dan dimusnahkan. Kemungkinan ramai saksi yang melihat Kristus telah turut terkorban. Fakta ini telah mengurangkan bilangan saksi yang boleh memberi kesaksian untuk Yesus.

Dengan mempertimbangkan pelayanan Yesus yang kebanyakannya terbatas di suatu kawasan terpencil di Empayar Roma, sejumlah maklumat yang mengejutkan dapat diperolehi daripada sumber bahan sejarah sekular. Sebahagian daripada bukti sejarah penting mengenai Yesus termasuklah yang berikut:

Pada abad pertama, seorang manusia berbangsa Roma yang bernama Tacitus, yang juga dianggap seorang ahli sejarah paling tepat pada zaman silam, menyebut tentang golongan yang mempunyai kepercayaan karut dan dipanggil “Kristian” iaitu nama yang diambil daripada perkataan Kristus, yang telah menderita di bawah Pilatus sewaktu pemerintahan Tiberias. Suetonius, ketua setiausaha kepada Maharaja Hadrian, menulis bahawa terdapat seorang lelaki bernama ‘Chrestus’ (atau Kristus) yang telah hidup pada abad yang pertama (Annals 15.44)

Flavius Josephus merupakan seorang pakar sejarah Yahudi yang sangat terkenal. Dalam buku Antiquities yang ditulisnya, beliau ada menyebut mengenai Yakobus, “saudara Yesus, yang juga dipanggil sebagai Kristus”. Terdapat ayat yang menjadi kontrovesi (18:3) yang mengatakan bahawa, “Pada suatu ketika, Yesus, seorang manusia yang boleh melakukan keajaiban jika Dia dapat dianggap sebagai manusia, telah banyak melakukan perkara-perkara yang menakjubkan. Dia dipanggil Kristus. Dia menampakkan diri-Nya kepada mereka pada hari ketiga, seperti yang telah dinubuatkan oleh nabi-nabi Allah mengenai kebangkitan-Nya.” Satu versi lain berbunyi, “Pada ketika ini terdapat seorang yang bijaksana bernama Yesus. Kelakuan-Nya baik dan Dia terkenal sebagai seorang yang sangat mulia. Ramai daripada kalangan orang Yahudi dan bangsa-bangsa lain telah menjadi pengikut-pengikut-Nya. Pilatus telah menjatuhkan hukuman mati di atas kayu salib ke atas diri-Nya. Tetapi mereka yang telah menjadi pengikut-pengikut-Nya tidak meninggalkan ajaran-Nya. Mereka melaporkan bahawa Yesus telah menampakkan diri-Nya tiga hari selepas kematian-Nya, Dia hidup dan Dia merupakan penyelamat (Messiah), yang diceritakan oleh para nabi.”

Julius Africanus memetik kata-kata ahli sejarah Thallus dalam perbincangan mengenai kegelapan yang menyusuli penyaliban Kristus (Extant Writings, 18)

Pliny Yang Muda, dalam Surat 10:96 merekodkan amalan ibadah Kristian yang awal termasuk cara orang Kristian menyembah Yesus sebagai Tuhan.

Talmud Babelonia (Sanhedrin 43a) menentang penyaliban Kristus menjelang hari Paska, dan menuduh Kristus menggunakan ilmu sihir dan mendorong orang Yahudi menjadi murtad.

Lucian dari Samosata merupakan seorang penulis Yunani pada abad kedua yang mengakui bahawa Yesus yang disembah oleh orang Kristian, telah memperkenalkan ajaran-ajaran baru dan akibat daripada tindakan-Nya, Dia telah disalib. Dia mengatakan bahawa ajaran Yesus termasuklah persaudaraan semua orang yang percaya, pentingnya menjadi penganut dan pentingnya menolak semua tuhan yang lain. Orang Kristian hidup berdasarkan hukum-hukum yang diajar oleh Yesus iaitu percaya manusia boleh memiliki hidup yang kekal, mempunyai sikap tidak takut mati, menolak kepentingan diri secara sukarela dan menolak kebendaan.

Mara Bar-Serapion mengatakan bahawa Yesus seorang yang berhikmat dan bersifat mulia, dan dianggap ialah Raja orang Israel oleh ramai orang. Beliau telah dibunuh oleh orang Yahudi dan terus hidup dalam ajaran pengikut-pengikut-Nya.

Kemudian, terdapat penulisan-penulisan Gnostik (Buku Kebenaran, Buku Yohanes, Buku Thomas, Penulisan Tentang Kebangkitan, dsb) yang kesemuanya ada menyebut Yesus.

Sebenarnya, kita boleh menyusun semula cerita-cerita dalam kitab Injil dengan mengumpulkan bahan-bahan dari sumber “bukan-Kristian”: Yesus dipanggil Kristus, melakukan pelbagai “keajaiban”, memberi Israel ajaran yang baru, dan telah disalib pada hari Paska bagi mereka (Talmud Babelonia) di Yudea (Tacitus), tetapi mengakui diri-Nya sebagai Tuhan dan akan kembali semula (Eliezar), dan firman ini dipercayai oleh para pengikut-Nya.

Kesimpulannya, terdapat bukti yang sangat kukuh mengenai kewujudan Yesus Kristus, baik dalam sejarah sekular mahupun agama Kristian. Barangkali bukti terbaik kewujudan Kristus ialah fakta yang telah didapati oleh ribuan orang pada abad pertama termasuk dua belas orang rasul yang sanggup mengadaikan nyawa mereka untuk mati kerana percaya kepada kebangkitan Kristus. Mereka sanggup mati untuk sesuatu yang mereka percaya benar, tetapi tiada sesiapa yang akan sanggup mati untuk sesuatu yang mereka tahu hanya suatu pembohongan.

English



Balik ke laman bahasa Melayu

Adakah Yesus benar-benar pernah wujud? Adakah terdapat bukti sejarah mengenai kewujudan Yesus Kristus?
Kongsi halaman ini: Facebook icon Twitter icon Pinterest icon Email icon
© Copyright Got Questions Ministries