settings icon
share icon
Soalan

Apakah ada yang disebut sebagai kebenaran mutlak/ kebenaran sejagat?

Jawapan


Untuk memahami kebenaran mutlak atau kebenaran sejagat, kita harus mulai dengan mendefinisikan kebenaran. Menurut kamus, kebenaran adalah “kesesuaian dengan fakta atau kenyataan; sebuah pernyataan yang terbukti atau diterima sebagai benar.” Sesetengah orang akan mengatakan bahawa tidak ada realiti yang sejati, hanya persepsi dan pendapat. Orang lain pula berpendapat bahawa pasti ada realiti atau kebenaran mutlak.

Salah satu pandangan berkata tidak ada kebenaran mutlak yang dapat mentakrifkan realiti. Mereka yang memegang pandangan ini percaya bahawa segala sesuatu adalah relatif kepada sesuatu yang lain dan dengan demikian tidak akan ada realiti sebenar. Kerana itu, akhirnya tidak ada kemutlakan moral, tidak ada kuasa untuk memutuskan apakah suatu tindakan itu positif atau negatif, benar atau salah. Pandangan ini mengarah kepada "etika situasi" iaitu kepercayaan bahawa apa yang benar atau salah adalah relatif kepada situasi. Kerana itu tidak ada benar atau salah, apa pun yang terasa atau kelihatan benar pada masa itu dalam situasi yang benar. Tentu saja, etika situasi membawa kepada penilaian subjektif, mentaliti dan gaya hidup "apa pun terasa baik" yang mengakibatkan banyak kesan buruk terhadap masyarakat dan individu. Ini adalah postmodernisme, ia mencipta sebuah masyarakat yang menganggap semua nilai, keyakinan, gaya hidup dan tuntutan kebenaran adalah sama-sama sah.

Pandangan lain mengatakan bahawa memang ada realiti mutlak dan piawaian yang mendefinisikan apa yang benar dan apa yang tidak. Oleh kerana itu, tindakan untuk menentukan samada benar atau salah boleh dilakukan dengan ukuran piawaian mutlak yang ada. Jika tidak ada yang mutlak, tidak ada realiti, maka kekacauan akan berlaku. Misalnya, hukum graviti. Kalau ianya bukan suatu yang mutlak, kita tidak yakin boleh berdiri atau duduk di satu tempat sehingga kita memutuskan untuk bergerak. Atau jika dua ditambah dua tidak selalu bersamaan dengan empat, bencana akan berlaku ke atas tamadun dunia. Sains dan hukum-hukum fizik akan menjadi tidak relevan dan perdagangan tidak mungkin dapat dijalankan. Keadaan kacau-bilau akan berlaku! Syukurlah, dua ditambah dua bersamaan dengan empat. Ada kebenaran mutlak dan ianya boleh ditemui dan difahami.

Sama sekali tidak logik untuk membuat kenyataan bahawa tidak ada kebenaran mutlak. Namun, pada hari ini, ramai orang memeluk relativisme budaya yang menolak semua jenis kebenaran mutlak. Soalan yang baik untuk ditanya terhadap orang-orang yang berkata, "Tidak ada kebenaran mutlak" adalah ini: “Adakah anda benar-benar yakin dengan itu?” Sekiranya mereka menjawab “ya”, mereka telah membuat satu kenyataan mutlak — yang mana jawaban mereka sendiri mengatakan bahawa memang wujud perkara yang mutlak. Kenyataan yang mereka katakan bahawa tidak ada kebenaran mutlak merupakan satu-satunya kebenaran mutlak.

Di samping masalah pertentangan-sendiri, ada beberapa masalah logik yang harus diatasi seseorang yang mahu mempercayai bahawa tidak ada kebenaran mutlak. Salah satu daripadanya adalah semua manusia mempunyai pengetahuan dan fikiran yang terhad dan oleh sebab itu secara logik manusia tidak boleh membuat kenyataan-kenyataan negatif yang mutlak. Secara logik seseorang tidak boleh mengatakan, "Tidak ada Tuhan" (walaupun ramai berbuat demikian), kerana dalam rangka untuk membuat kenyataan seperti itu, ia perlu mempunyai pengetahuan mutlak seluruh alam semesta dari awal hingga akhir. Memandangkan itu tidak mungkin berlaku, kenyataan yang paling masuk akal dapat dikatakan sesiapapun juga adalah "Dengan keterbatasan pengetahuan yang saya miliki, saya tidak percaya ada Tuhan."

Masalah lain dengan penyangkalan terhadap kebenaran mutlak adalah kegagalan untuk hidup sesuai dengan apa yang kita ketahui sebagai benar dalam hati nurani, dalam pengalaman dan dalam apa yang kita lihat di dunia nyata. Jika tidak ada kebenaran mutlak, maka pada akhirnya tidak ada yang benar atau salah tentang apa pun. Apa yang mungkin "benar" bagi anda tidak bererti itu "benar" juga bagi saya. Manakala pada permukaan relativisme ini kelihatan menarik, maksudnya adalah setiap orang menetapkan peraturan sendiri untuk hidup mengikut dan melakukan apa yang difikirnya benar. Tanpa dapat dielakkan pendirian tentang apa yang benar milik seseorang pasti akan bertembung dengan pendirian orang lain. Apakah yang akan berlaku sekiranya “benar” bagi saya untuk tidak memperdulikan lampu isyarat jalanraya walaupun ianya berwarna merah? Saya akan meletakkan banyak nyawa dalam bahaya. Atau saya mungkin berpikir mencuri dari anda itu betul dan anda berpikir itu salah. Jelas, tanpa piawaian tentang benar dan salah kita akan berada dalam keadaan konflik. Jika tidak ada kebenaran mutlak, tidak ada piwaian tentang benar dan salah yang kepadanya kita semua perlu bertanggungjawab, maka kita tidak akan dapat diyakinkan tentang apa pun. Orang akan bebas melakukan apa sahaja yang mereka ingin lakukan seperti pembunuhan, memperkosa, mencuri, berbohong, menipu dan tidak ada seorang pun dapat mengatakan perkara-perkara ini sebagai suatu kesalahan. Kita tidak dapat mempunyai kerajaan, tidak ada undang-undang, tidak ada keadilan, kerana tidak ada seorang pun yang dapat mengatakan bahawa pihak majoriti mempunyai hak untuk membuat dan menegakkan piawaian-piawaian ke atas pihak minoriti. Sebuah dunia tanpa kemutlakan akan menjadi dunia yang paling mengerikan.

Dari sudut pandangan rohani, relativisme ini akan mengakibatkan kebingungan agama, di mana tidak akan ada satu pun agama yang benar dan tidak ada cara untuk mempunyai hubungan yang benar dengan Tuhan. Oleh kerana itu semua agama adalah salah kerana membuat tuntutan mutlak tentang akhirat. Bukan perkara luarbiasa pada hari ini bagi orang-orang untuk percaya kepada dua agama bertentangan sebagai sama-sama "benar", walaupun kedua-dua agama mendakwa mempunyai satu-satunya jalan ke syurga atau mengajarkan dua "kebenaran" yang saling bertentangan. Orang-orang yang tidak percaya pada kebenaran mutlak mengabaikan tuntutan tersebut dan memeluk universalisme yang lebih bertolak-ansur dan mengajar bahawa semua agama adalah sama dan semua jalan menuju ke syurga. Orang yang menganuti pandangan dunia ini dengan keras menentang orang Kristian Injili yang percaya pada Alkitab yang berkata Yesus adalah "jalan, dan kebenaran, dan hidup" dan bahawa Dia merupakan penyataan kebenaran yang tertinggi dan satu-satunya Jalan bagi seseorang untuk dapat masuk ke syurga (Yohanes 14:6).

Toleransi telah menjadi salah satu nilai murni masyarakat postmodern yang mutlak dan kerananya sikap tidak bertoleransi adalah satu-satunya kejahatan. Setiap dogmatis terutama sekali keyakinan terhadap kebenaran mutlak dipandang sebagai tidak bertoleransi dan itu merupakan dosa terbesar. Mereka yang menolak kebenaran mutlak akan sering berkata anda berhak mempercayai apa yang anda ingin percaya, selagi tidak berusaha memaksa kepercayaan anda ke atas orang lain. Tapi pandangan ini sendiri merupakan sebuah keyakinan mutlak tentang apa yang benar dan salah dan mereka yang memegang pandangan ini jelas sekali mencuba untuk memaksakan pandangan itu ke atas orang lain. Mereka menubuhkan sebuah piawaian perilaku yang mereka tuntut supaya diikuti orang lain, dengan demikian melanggar perkara yang sangat mereka tegakkan.Ini merupakan satu lagi kedudukan yang bertentangan. Mereka yang memegang keyakinan tersebut tidak mahu bertanggungjawab atas tindakan mereka. Jika ada kebenaran mutlak, maka ada piawaian mutlak tentang benar dan salah. Oleh sebab itu kita bertanggungjawab terhadap piawaian-piawaian tersebut. Pertanggungjawaban ini merupakan perkara sebenar yang ditolak oleh mereka yang menolak kebenaran mutlak.

Penolakan kebenaran mutlak dan relativisme budaya yang terhasil olehnya merupakan keputusan logik dari sebuah masyarakat yang telah menerima teori evolusi sebagai penjelasan untuk asal usul kehidupan ini. Jika evolusi naturalistik itu benar, maka kehidupan tidak bermakna, kita tidak bertujuan dan tidak ada kebenaran atau kesalahan mutlak. Manusia kemudian bebas untuk hidup sesuka hati dan tidak bertanggungjawab kepada sesiapa pun untuk tindakannya. Namun, tidak kira berapa ramai orang-orang berdosa menyangkal kewujudan Allah dan kebenaran mutlak, suatu hari nanti mereka masih akan berdiri di hadapan-Nya dalam penghakiman. Alkitab berkata “Karena apa yang dapat mereka ketahui tentang Allah nyata bagi mereka, sebab Allah telah menyatakannya kepada mereka. Sebab apa yang tidak nampak dari pada-Nya, yaitu kekuatan-Nya yang kekal dan keilahian-Nya, dapat nampak kepada pikiran dari karya-Nya sejak dunia diciptakan, sehingga mereka tidak dapat berdalih. Sebab sekalipun mereka mengenal Allah, mereka tidak memuliakan Dia sebagai Allah atau mengucap syukur kepada-Nya. Sebaliknya pikiran mereka menjadi sia-sia dan hati mereka yang bodoh menjadi gelap. Mereka berbuat seolah-olah mereka penuh hikmat, tetapi mereka telah menjadi bodoh” (Roma 1:19-22).

Adakah terdapat bukti untuk wujudnya kebenaran mutlak? Ya. Pertama terdapat hati nurani manusia, iaitu “sesuatu” kepastian di dalam kita yang berkata dunia ini seharusnya berada dalam keadaan tertentu dan memberitahu kita beberapa perkara sebagai benar dan dan beberapa perkara sebagai salah. Hati nurani kita memberitahu bahawa terdapat sesuatu yang tidak betul dengan penderitaan, kelaparan, pemerkosaan,kesakitan dan kejahatan. Hati nurani membuatkan kita menyedari tentang cinta, kemurahan, belas kasihan dan kedamaian yang merupakan hal-hal positif yang kita harus usahakan. Hal ini berlaku di seluruh dunia dalam semua budaya di sepanjang waktu. Alkitab menjelaskan peranan hati nurani manusia dalam Roma 2:14-16: “Apabila bangsa-bangsa lain yang tidak memiliki hukum Taurat oleh dorongan diri sendiri melakukan apa yang dituntut hukum Taurat, maka, walaupun mereka tidak memiliki hukum Taurat, mereka menjadi hukum Taurat bagi diri mereka sendiri.Sebab dengan itu mereka menunjukkan, bahwa isi hukum Taurat ada tertulis di dalam hati mereka dan suara hati mereka turut bersaksi dan pikiran mereka saling menuduh atau saling membela.Hal itu akan nampak pada hari, bilamana Allah, sesuai dengan Injil yang kuberitakan, akan menghakimi segala sesuatu yang tersembunyi dalam hati manusia, oleh Kristus Yesus.”

Bukti kedua untuk kewujudan kebenaran mutlak adalah ilmu sains. Ilmu sains adalah usaha mengejar pengetahuan, iaitu pengajian tentang apa yang kita ketahui dan berusaha untuk mengetahui lebih banyak lagi. Oleh kerana itu, semua kajian saintifik perlu didasarkan pada keyakinan bahawa ada realiti objektif yang ada di dunia dan kenyataan ini boleh ditemui dan dibuktikan. Tanpa kemutlakan, apakah yang ada untuk dipelajari? Bagaimanakah kita boleh tahu bahawa penemuan-penemuan ilmu pengetahuan adalah nyata? Bahkan, hukum-hukum sains sangat didasarkan pada wujudnya kebenaran mutlak.

Bukti ketiga kewujudan kebenaran mutlak adalah agama. Semua agama di dunia berusaha untuk memberi makna dan definisi hidup. Mereka lahir dari keinginan manusia untuk sesuatu yang lebih daripada kewujudan yang sederhana ini. Melalui agama, manusia mencari Tuhan, harapan untuk masa depan, pengampunan dosa, keamanan di tengah-tengah perjuangan dan jawapan ke atas soalan-soalan kita yang terdalam. Agama adalah bukti bahawa manusia lebih daripada sekadar haiwan yang tinggi perkembangan evolusinya. Ia adalah bukti untuk tujuan hidup yang lebih tinggi dan adanya Pencipta yang bertujuan dan yang telah menanamkan dalam diri manusia keinginan untuk mengenal Dia. Jikalau memang ada Pencipta, maka Dia menjadi piawaian bagi kebenaran mutlak dan kuasa-Nya telah menetapkan kebenaran itu.

Mujurlah, ada Pencipta dan Dia telah menyatakan kebenaran-Nya kepada kita melalui FirmanNya, iaitu Alkitab. Kita dapat mengetahui kebenaran mutlak hanya melalui hubungan peribadi dengan Dia yang mengaku sebagai Kebenaran iaitu Yesus Kristus. Yesus mengaku sebagai satu-satunya jalan, kebenaran dan hidup dan tidak ada seorangpun yang dapat datang kepada Tuhan kalau bukan melalui Dia (Yohanes 14: 6). Fakta bahawa kebenaran mutlak memang wujud mengarahkan kita kepada kebenaran bahawa ada Allah yang berdaulat Pencipta langit dan bumi dan yang telah menyatakan diri-Nya kepada kita, supaya kita dapat mengenal Dia secara peribadi melalui Anak-Nya Yesus Kristus. Inilah kebenaran yang mutlak.

English



Balik ke laman bahasa Melayu

Apakah ada yang disebut sebagai kebenaran mutlak/ kebenaran sejagat?
Kongsi halaman ini: Facebook icon Twitter icon Pinterest icon Email icon
© Copyright Got Questions Ministries