Apakah yang dikatakan Alkitab tentang hukuman mati?




Soalan: Apakah yang dikatakan Alkitab tentang hukuman mati?

Jawapan: Perjanjian Lama memperkenalkan hukuman mati untuk beberapa kesalahan seperti membunuh (Keluaran 21:12), menculik (Keluaran 21:16), hubungan seks dengan binatang (Keluaran 22:19), perzinahan (Imamat 20:10), homoseksual (Imamat 20:13), menjadi nabi palsu (Ulangan 13:5), pelacuran dan merogol (Ulangan 22:4) serta beberapa jenayah yang lain. Bagaimanapun Tuhan seringkali menunjukkan belas kasihan apabila hukuman bunuh sepatutnya dijalankan. Daud telah berzinah dan membunuh tetapi Tuhan tidak menuntut agar nyawanya diambil (2 Samuel 11:1-5, 14-17; 2 Samuel 12:13). Akhirnya semua dosa akan berakhir dengan hukuman maut sebab upah dosa adalah maut (Roma 6:23). Syukurlah, Tuhan menyatakan kasih-Nya dengan tidak menghukum kita (Roma 5:8).

Apabila orang-orang Farisi membawa kepada Yesus seorang wanita yang telah tertangkap basah dan bertanya samada wanita itu harus direjam dengan batu, Yesus menjawab, "Barangsiapa di antara kamu tidak berdosa, hendaklah ia yang pertama melemparkan batu kepada perempuan itu” (Yohanes 8:7). Ayat ini tidak boleh digunakan untuk mengatakan Yesus menolak hukuman mati dalam setiap perkara. Dalam ayat ini Yesus hanya memperlihatkan kemunafikan orang-orang Farisi. Orang-orang Farisi sedang berusaha memperdaya Yesus agar melanggar Hukum Taurat dan mereka sebenarnya bukan mementingkan tentang wanita yang tertangkap basah itu(di manakah lelaki yang dengannya wanita itu telah tertangkap basah?). Tuhan sendiri telah memperkenalkan hukuman mati: “Siapa yang menumpahkan darah manusia, darahnya akan tertumpah oleh manusia, sebab Allah membuat manusia itu menurut gambar-Nya sendiri” (Kejadian 9:6). Yesus menyokong hukuman mati dalam beberapa perkara. Yesus juga menyatakan anugerah apabila hukuman mati mahu dilaksanakan(Yohanes 8:1-11). Rasul Paulus mengiktiraf kuasa kerajaan untuk melaksanakan hukuman mati di tempat yang bersesuaian (Roma 13:1-7).

Bagaimanakah seorang Kristian memandang kepada hukuman mati? Pertama, kita mesti ingat Tuhan telah memperkenalkan hukuman mati dalam Firman-nya. Oleh sebab itu, kita memandai-mandai apabila berfikir dapat menubuhkan satu piawaian yang lebih tinggi. Tuhan mempunyai taraf piawai yang tertinggi, Dia Tuhan yang sempurna. Piawaian ini bukan hanya diterapkan kepada kita tetapi terhadap diri-Nya juga. Dia mengasihi dengan kasih yang tidak ada batasannya, Dia juga bermurah hati dengan kemurahan yang tiada batasannya. Kita juga melihat bahawa Dia mempunyai murka yang tiada batasannya dan semua ini berada dalam satu keseimbangan yang sempurna.

Kedua, kita harus mengiktiraf Tuhan telah memberikan kepada pihak kerajaan yang memerintah kuasa untuk menentukan bilakah hukuman mati perlu dilaksanakan (Kejadian 9:6; Roma 13:1-7). Pandangan yang mengatakan Tuhan menentang semua bentuk hukuman mati adalah tidak Alkitabiah. Orang-orang Kristian tidak harus bersukacita apabila hukuman mati dijalankan tetapi pada masa yang sama mereka juga tidak perlu menentang hak kerajaan untuk menghukum pesalah-pesalah yang telah melakukan kejahatan-kejahatan yang amat kejam.



Balik ke laman bahasa Melayu

Apakah yang dikatakan Alkitab tentang hukuman mati?